• This is default featured slide 1 title

    Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.This theme is Bloggerized by NewBloggerThemes.com.

  • This is default featured slide 2 title

    Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.This theme is Bloggerized by NewBloggerThemes.com.

  • This is default featured slide 3 title

    Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.This theme is Bloggerized by NewBloggerThemes.com.

  • This is default featured slide 4 title

    Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.This theme is Bloggerized by NewBloggerThemes.com.

  • This is default featured slide 5 title

    Go to Blogger edit html and find these sentences.Now replace these sentences with your own descriptions.This theme is Bloggerized by NewBloggerThemes.com.

Thursday, 16 November 2017

Maduku lumayan



Peserta yang menyertai Kursus Penternakan Kelulut di ECER Hulu Terengganu.



Kuala Berang: Permintaan tinggi terhadap madu kelulut membolehkan suri rumah, Aida Jameelia Mohd, 26, dari Kampung Butut di sini menjana pendapatan tambahan lumayan bagi keluarganya sehingga RM1,500 sebulan.
Ibu kepada dua anak perempuan berusia tiga dan empat tahun itu berkata, dia menternak kelulut sejak setahun lalu dan kini mempunyai 10 sarang kelulut namun apabila melihat prospek madu kelulut yang positif, dia kini mengikuti kursus menternak kelulut bersama Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER).
Katanya, buat masa ini dia mampu menjana pendapatan tambahan sebanyak RM1,500 sebulan hasil menjual madu kelulut dan melalui ilmu yang diperoleh melalui kursus di empower ECER, dia berhasrat menghasilkan produk hiliran berasaskan madu kelulut yang tinggi permintaannya.
“Peluang yang diberikan ECER perlu diguna sebaik mungkin kerana pelbagai ilmu diberi termasuk aspek ternakan dan penghasilan produk kerana tanpa ilmu yang cukup selain kuasa pasaran mungkin perusahaan ini sukar untuk dimajukan.
“Malah ramai juga pelanggan sanggup datang terus ke rumah saya untuk mendapatkan madu kelulut,” katanya.
Menurutnya, bermula dengan dua sarang kelulut kini dia mempunyai 10 sarang dan menghasilkan lima kilogram madu setiap bulan dan dengan wang jualan madu dia cuba untuk mendapatkan sarang baru sebagai tambahan.
Katanya, dia amat berpuas hati dengan kerja yang dilakukannya dan kini mendapat bimbingan ECER dan berasakan suri rumah sepertinya juga mampu berjaya walaupun hanya melakukan kerja di rumah.
Sementara itu, Pengurus Projek Empower ECER, Surain Kanda berkata, program pemprosesan madu kelulut bertempat di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Kemaman, yang dianjurkan sebelum ini disertai oleh peserta kursus penternakan kelulut di bawah program empower ECER Hulu Terengganu serta Besut.
“Tujuan adalah menambah pengetahuan berkaitan cara penternakan kelulut dengan betul selain melihat sendiri tempat pemprosesan madu kelulut ketika melakukan lawatan ke Natures N Trigona Garden, Binjai, Kemaman.
“Ternakan kelulut adalah kursus terbaru yang diperkenalkan empower ECER dan mendapat sambutan baik dalam kalangan masyarakat setempat tambahan pula kerajaan juga menyokong industri madu kelulut di negara ini,” katanya.
Katanya, seramai 20 peserta dari empower Hulu Terengganu dan 13 dari empower Besut yang menyertai program itu dan semua peserta sedang mengikuti kursus perternakan kelulut yang baru diwujudkan ECER pada tahun ini - Metro

Share:

Monday, 13 November 2017

Kumpul spesies kelulut


Perusahaan madu lebah semakin berkembang kerana pelbagai sebab antaranya menawarkan peluang perniagaan yang menguntungkan selain pengetahuan orang ramai yang agak baik mengenai khasiatnya.
Walau bagaimanapun, pengetahuan masyarakat secara menyeluruh mengenai asal usul madu dan jenis lebah agak terbatas. Dalam masa yang sama, isu lain membelenggu industri madu termasuklah antaranya masalah menentukan ketulenannya.


Berdasarkan kajian yang pernah dijalankan, hampir 80 peratus madu di pasaran adalah madu yang tidak asli. Ini termasuk juga madu sintetik yang bahan asasnya bukan daripada madu. Ini amat berbahaya dan pasti memudaratkan kepada kesihatan.
Lebah terbahagi kepada beberapa jenis iaitu lebah tualang lebih sinonim dengan lebah madu (Apis dorsata), lebah kampung (Apis cerana) selain lebah lalat (Apis florea) dan kelulut (Meliponin).
Terdapat juga lebah import yang dipelihara secara komersial iaitu spesies Apis mellifera.
Lebah kampung atau tualang dan kelulut agak popular dan inilah yang melahirkan ramai pengusaha ketika ini.
Lebah kampung dan lebah tualang memang dikenali sedangkan lebah lalat tidak diusahakan. Lebah tualang agak berbahaya untuk diambil kerana terletak di dahan pokok dan lebahnya jenis menyengat.
Namun sejak beberapa tahun kebelakangan, kelulut semakin mendapat tempat kerana ia mudah diusahakan dan tidak berbahaya, malah menjadi satu industri yang menguntungkan.
Malah, kelulut kian dikenali dan ramai pengusaha kini muncul dengan mengeluarkan madu dengan pelbagai jenama.
Dalam masa yang sama, kajian mengenai industri huluran dan hiliran kelulut sudah mula dijalankan dengan memfokus kepada aspek biologi, kesihatan dan khasiat pemakanan.
Salah seorang penyelidik yang memfokus kepada aspek huluan industri kelulut adalah pensyarah Pusat Pengajian Sains dan Teknologi Makanan (PPSTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr. Shamsul Bahri Abd. Razak yang mengumpul koleksi kelulut sejak 2013.
Dr. Shamsul Bahri berkata, beliau pada mulanya menternak lebah kampung dan import tetapi masalah timbul ekoran kesukaran mendapatkan koloni lebah.
“Selepas menternak 10 koloni lebah di Gong Badak dan Setiu, setahun kemudian masalah timbul kerana sukar mendapat bekalan permaisuri lebah. “Ini menjadi satu masalah di Malaysia kerana tidak ada pengusaha lebah madu yang membekal permaisuri lebah manakala kos membeli koloni agak mahal,” ujarnya.
Menurut beliau, jangka hayat permaisuri lebah madu hanya bertahan tiga tahun dan selepas itu tidak lagi bertelur, sekali gus menyebabkan kitaran lebah terputus.
Beliau kemudian mengumpul spesies lebah kelulut dengan kerjasama Jabatan Pertanian Terengganu di kawasan Taman Pertanian Sekayu, Kuala Berang, Terengganu.
Projek tersebut kata beliau bukan sahaja bagi membolehkan kajian habitat dan biologi mengenai lebah kelulut tetapi boleh menarik golongan muda mempelajari dan mengenali spesies kelulut tempatan.
Antara kelebihan menternak lebah kelulut termasuklah sebagai agen penting untuk proses pendebungaan di kawasan tropika, subtropika dan di bahagian-bahagian tertentu dunia.
Ada kajian menunjukkan bahawa terdapat lebih 500 spesies lebah kelulut seluruh dunia antaranya Heterotrigona itama, Tetragonula laeviceps, Tetrigona apicalis, dan Geniotrigona thorasica.
Antara negara dan gugusan Nusantara yang dikenal pasti mempunyai lebah kelulut ialah Indonesia (37 spesies), Thailand (20), Myanmar (sembilan), Vietnam (lapan), India (tiga), Taiwan (satu) dan di Malaysia kira-kira 35 spesies.
Justeru, jumlah spesies yang banyak di negara ini mendorong Dr. Shamsul Bahri untuk mengumpul koleksi kelulut itu untuk tujuan agropelancongan dan juga penyelidikan.
Usaha beliau itu mendapat kerjasama Jabatan Pertanian dan beliau menjelajah ke seluruh negara menerusi kembara mencari spesies kelulut Nusantara yang juga dikenali sebagai kumpulan kelulut Indo-Malaya.
Menerusi satu memorandum persetujuan (MoA) bakal ditandatangani, Jabatan Pertanian Negeri Terengganu menyediakan prasarana, penyelenggaraan serta kemudahan asas, manakala UMT menjalankan penyelidikan, penyebaran maklumat hasil kajian pencarian koleksi kelulut.
“Kini saya dapat kumpul 24 spesies kelulut di satu kawasan seluas 0.5 ekar dan tubuhkan Repositori Kelulut Indo-Malaya di Sekayu untuk tujuan pelancongan, penyelidikan dan tatapan generasi akan datang Indo-Malaya,” katanya.
Repositori tersebut kata beliau sudah hampir siap dan hanya menunggu kerja-kerja menyempurnakan landskap yang penting sebagai sumber madu daripada nektar, resin, mineral dan keperluan asas lain dari sekitaran dan pokok-pokok yang ditanam.
Repositori tersebut yang dibangunkan dengan kos RM100,000 di satu kawasan kini memiliki lapan stesen yang setiap satu boleh menempatkan empat spesies kelulut
“Apabila siap kelak, repositori tersebut boleh dikatakan yang pertama di negara ini dan mungkin di dunia,” ujar beliau lagi.
Koleksi yang terdapat di repositori tersebut bagaimanapun hanya meliputi spesies di Semenanjung Malaysia sahaja. Dalam kembara menjejak spesies lebah kelulut di beberapa daerah di negeri Sabah, Brunei dan Sarawak baru-baru ini, terdapat tiga lagi spesis kelulut yang belum ditemukan di Semenanjung Malaysia iaitu Geniotrigona lacteifasciata, Tetragonula sirindhornae dan Tetragonula melanochepala.
Kelulut Tetragonula sirindhornae digelar kelulut ‘emas’ kerana warna badannya berkilauan seperti emas.
Sama seperti lebah madu, kelulut juga membentuk koloni sosial yang kompleks.
Istimewanya lebah kelulut tidak menyengat tetapi menggigit. Dalam genus kelulut ini, ia memainkan peranan penting bagi proses pendebungaan.
Ramai menganggap lebah kelulut tidak mampu mengeluarkan madu dengan banyak menerusi kaedah penternakan biasa. Justeru, harga madu kelulut di pasaran jauh lebih mahal berbanding harga madu lebah. Pada masa ini, lebah kelulut dijual dengan harga sekitar RM150 dan boleh mencecah RM500 sekilogram manakala harga madu lebah sekitar RM80 sekilogram.
Seni bina sarang lebah kelulut juga berbeza-beza mengikut spesies tertentu iaitu sesetengahnya suka bersarang di dalam tanah, di dalam kayu sehinggalah di celah-celah belahan batu.
Mereka yang menternak kelulut pastinya mengetahui propolis atau sarangnya yang berwarna kehitaman, dikumpulkan oleh kelulut pekerja iaitu resin pokok yang dicampurkan dengan air liur serta makanan seperti debunga dan bunga.
Bahan propolis tersebut digunakan untuk melapisi bahagian dalam sarang bagi mengekalkan keadaan steril kerana anak kelulut amat sensitif dengan virus, kulat dan serangga perosak.
Pengusaha hanya mengambil masa sebulan untuk menuai hasil kelulut dalam bentuk madu, debunga dan propolis. Pengambilan madu pula lebih mudah kerana kelulut tiada sengat.
Madu kelulut boleh diambil setiap bulan apabila kotak sarang telah penuh dan madu berada di dalam kantung-kantung kecil. Musim pengeluaran madu boleh dilihat bermula selepas musim tengkujuh iaitu seawal bulan Februari sehingga bulan Oktober setiap tahun.
Sama seperti lebah madu, kelulut juga menghasilkan madu dan propolis yang kaya dengan khasiat seperti antioksidan yang tinggi. Bagaimanapun madu kelulut rasanya agak masam berbanding madu biasa dan warnanya lebih cerah dan cair.
Dalam pada itu, Dr. Shamsul Bahri memberitahu pengumpulan spesies kelulut di satu lokasi di Sekayu itu merupakan projek fasa satu dan fasa kedua akan melibatkan penyelidikan menyeluruh aspek biologi, biodiversiti, taksonomi, ciri madu, pembangunan produk hiliran dan lain-lain. Promosi juga diperhebat bagi menjadikan repositori berkenaan sebagai salah satu tarikan agropelancongan di Terengganu. 
-Gambar Mokhtar Ishak (UMT)
Inovasi kelulut-stevia bantu penduduk
Dalam pada itu, penyelidik berkaitan kelulut terus diberi perhatian dengan menjadikannya sebagai penjana ekonomi kumpulan sasar di kawasan Besut, Terengganu.
Berkongsi lebih lanjut, Prof. Madya Dr. Shamsul Bahri Abd. Razak berkata, projek integrasi kelulut dan tanaman stevia itu dimulakan pada hujung tahun 2014.
“Idea ini tercetus apabila saya dibawa melawat projek tanaman stevia yang diusahakan oleh komuniti ibu tunggal di Pusat Tunas Stevia (PTS), Jabi, Besut.
“Ketika itu tidak ada lagi yang menternak kelulut dan secara integrasi dengan satu-satu tanaman (monofloral).
“Lagipun dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri Terengganu sedang giat mempromosikan satu program yang dinamakan Program Madu Ole-Ole Terengganu. Jadi madu monofloral (madu kelulut stevia) ini telah dijadikan salah satu produk premium (designer honey) bagi program itu,” ujar beliau.
Beliau berkata, projek tersebut melibatkan tiga peserta ibu tunggal yang juga merupakan ahli Koperasi Ummu Wahidah Terengganu (Kuwat) yang mempunyai 20,000 ahli berdaftar di seluruh negeri Terengganu.
Antara objektif projek tersebut adalah yang pertama, meningkatkan pendapatan dan taraf sosioekonomi penternak setempat melalui hasil madu, propolis, roti lebah (bee bread) dan juga produk hiliran seperti kosmetik dan kesihatan.
Kedua, secara umumnya madu kelulut mempunyai rasa yang agak masam berbanding madu lebah. Ada pengguna masih mempunyai persepsi madu mesti rasa manis. Stevia merupakan pemanis asli yang mempunyai kemanisan 300 kali berbanding gula biasa. Bahan aktif daripada stevia akan mengurangkan tahap kemasaman madu kelulut.
Berkongsi lebih lanjut, Dr. Shamsul Bahri berkata, plot integrasi kelulut bersama tanaman stevia di PTS yang juga merupakan plot eksperimen UMT dilakukan dengan meletakkan 150 koloni kelulut di dalam plot tanaman pokok stevia.
Pokok stevia di negara ini mengeluarkan bunga dan kelulut akan pergi mengambil debunga serta nektar dari pokok stevia yang akhirnya ditukar menjadi madu kelulut. Madu kelulut ini telah terbukti melalui analisis makmal di UMT mengandungi bahan aktif stevioside (pemanis) dari pokok stevia.
Selain itu katanya, inovasi pecah koloni juga dipraktikkan bagi memastikan kelestarian kelulut.
“Proses ini melibatkan penggandaan koloni kelulut daripada satu koloni asal dan ini merupakan teknik yang sememangnya digalakkan bagi mengekalkan kelestarian alam sekitar manakala pokok stevia pula dihasilkan sendiri oleh penternak di PTS melalui nurseri dan gandaan tunas yang diusahakan di situ,” ujar beliau.
Setakat ini, selain madu yang merupakan produk utama industri kelulut Malaysia, propolis serta roti lebah yang berasal dari debunga yang separa hadam oleh kelulut juga merupakan produk yang boleh dikomersialkan serta mendatangkan hasil yang lumayan.
Projek tersebut berjaya meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi peserta yang terlibat.
Kejayaan projek tersebut dijadikan model dan telah dikembangkan kepada beberapa lagi ahli Kuwat yang berminat.
Salah satu tempat yang telah berjaya dikembangkan ialah di kawasan Tok Dor, Besut yang melibatkan lima peserta.
Hasil kerjasama itu, satu memorandum persefahaman telah ditandatangani di antara UMT dan juga PTS - Utusan Online
Share:

Piawaian khas lindungi madu kelulut



KUALA LUMPUR 6 Dis. - Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) kini sedang merangka piawaian khusus bagi memastikan madu kelulut mencapai tahap standard pengkomersialan yang ditetapkan oleh badan antarabangsa.

Timbalan Pengarah MARDI, Dr. Ahmad Safuan Bujang, langkah itu penting bagi mengesan produk tiruan di pasaran sekali gus meningkatkan penghasilannya sehingga 240 kilogram dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Meskipun terdapat Akta Makanan 1983 dan Peraturan Makanan 1985, maklumat mengenai khasiat madu kelulut sangat kurang kerana akta tersebut lebih menjurus kepada madu lebah biasa.

“Justeru, hasil kajian yang dijalankan akan digunakan untuk menetapkan piawaian madu kelulut negara sekali gus boleh mengatasi kepincangan yang terdapat dalam industri ketika ini,” katanya.

Tambahnya lagi, piawaian yang akan dikeluarkan dalam masa terdekat itu turut mendapat bantuan kepakaran dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Institut Genome Malaysia, Jabatan Standard Malaysia, SIRIM Bhd. (SIRIM), Jabatan Pertanian Malaysia dan Kementerian Kesihatan.
Menerusinya standard berkenaan, kandungan madu kelulut seperti jumlah air akan ditetapkan pada kadar tertentu bagi menghasilkan produk yang bermutu tinggi.
Timbalan Pengarah Program Perekaan Makanan, Pusat Penyelidikan Sains Teknologi Makanan MARDI, Dr. Suri Roowi berkata, madu kelulut kini mendapat permintaan yang sangat tinggi.
“Ini kerana madu yang dihasilkan serangga tidak bersengat itu dikenal pasti mempunyai nilai kesihatan yang tinggi.
“Selain kaya dengan nutrien dan asid fenolik, sifat anti oksidan yang tinggi dimiliki madu kelulut terbukti berupaya melawan sel kanser,” katanya.
Malah, kajian oleh MARDI menunjukkan madu kelulut mengandungi pelbagai jenis asid fenolik yang berguna untuk kesihatan tubuh manusia.
“Sebagai contoh, asid p-coumaric mengandungi bahan antioksidan yang tinggi dan dipercayai mampu mengurangkan risiko kanser perut dengan me­ngurangkan pembentukan bahan nitrosamine.
“Asid fenilpropionik iaitu sejenis bahan utama madu kelulut juga dikatakan mampu mengurangkan enzim cyclooxygenase-2 (COX-2) yang menyebabkan pembentukan radang semasa perkembangan kanser usus besar,” katanya.
Tambahnya, bahan-bahan tersebut juga berkesan dalam menurunkan tahap kolestrol dalam plasma darah, hati serta berupaya mengurangkan trigliserida dalam darah.
“Selain Asia Tenggara, madu kelulut turut menjadi diet harian penduduk Australia dan Afrika. Lazimnya, ia dimakan secara terus atau dicampur bersama air dan dijadikan minuman harian.
“Madu kelulut dianggap makanan hebat atau superfood selepas kajian saintifik membuktikkan ia mempunyai pelbagai khasiat seperti menurunkan kadar kolestrol dalam darah dan boleh mengurangkan risiko kanser,” katanya - Utusan
Share:

Thursday, 2 November 2017

Madu Kelulut : ‘Superfood’



PUTRAJAYA 18 Sept. – Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan menjenamakan madu kelulut sebagai ‘Superfood' pertama Malaysia dan mempromosi­nya di peringkat antarabangsa yang sekali gus membantu mening­­katkan pendapatan negara.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dipertanggungjawabkan untuk membangunkan produk madu kelulut melalui pelbagai peringkat penyelidikan dan pembangunan (R&D).
“Antara aktiviti penyelidikannya adalah pemilihan madu terpilih yang tinggi khasiat antioksidan, pembangunan teknologi pemprosesan, pembangunan seperti propolis dan ‘bee bread’.
“Superfood ini akan mengikut piawaian yang ditetapkan, ia memang akan mengambil masa tetapi kita yakin ia juga setanding dengan madu-madu keluaran peringkat antarabangsa,” katanya pada majlis pelancaran kempen ‘Mulakan Hari Anda Dengan Madu’ di sini hari ini.
Majlis pelancaran kempen itu disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut merasmikan ‘Kelulut Walk 2016’.
Ahmad Shabery berkata, produk superfood madu kelulut itu juga akan melalui ujian keselamatan dan keberkesanan, antaranya, ujian terhadap tahap hemoglobin dan ujian penurunan kadar gula dan kolesterol dalam darah.
Beliau berkata, negara-negara hutan tropika seperti Malaysia sememangnya beruntung apabila memiliki lebah kelulut kerana hasil daripada ternakan lebah tersebut akan memberi kelebihan daripada banyak aspek.
Dalam hubungan ini, katanya, kementerian menyasarkan dalam tempoh lima tahun lagi negara akan menghasilkan dua kali ganda lebih banyak berbanding 120,000 kilogram madu diproses yang dihasilkan untuk tempoh setahun pada waktu ini.
"Sekarang kita dapat hasilkan sebanyak 120,000 kilogram daripada 60,000 sarang yang diternak oleh 1,200 penternak setahun. Kita harapkan jumlah hasil madu itu meningkat sejajar dengan peningkatan jumlah penternak pada masa depan," katanya.
Lebah kelulut adalah leb­ah ti­ dak bersengat, berasal da­­ri­pa­da keluarga Apidae dan berupaya meng­hasilkan madu, propolis dan roti lebah. Ia mempunyai struktur sarang yang berbeza daripada lebah madu - Utusan.

Share:

Kelulut Boleh Jana Pendapatan Lumayan


LABIS 17 Mei - Kegagalan mengusaha pen­­ternakan lembu dan lebah sebelum ini tidak mematahkan semangat seorang lelaki di Kampung Tenang, dekat sini untuk bangkit menjadi penternak kelulut yang berjaya sejak dua tahun lalu.

Arshad Luman, 55, bekas pegawai di sebuah institusi kewangan tidak pernah menyesal mengambil keputusan berhenti kerja hampir 15 tahun lalu untuk menceburi bidang penternakan.

“Saya bermula dengan terna­kan lembu dan ayam, namun men­dapati membela lembu tidak semudah yang disangka kerana banyak masa diperlukan untuk haiwan berkenaan.

“Selepas menjual semua lembu dan ayam, saya beralih de­ngan menternak lebah pula. Tapi penghasilan lebah tidak sepanjang tahun dan bergantung de­ngan bunga di sekeliling kawasan yang bermusim membuatkan saya mencari satu usaha lain yang hasilnya tidak bermusim,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Secara kebetulan ketika itu pada awal tahun 2015, dia dan beberapa rakannya ditawarkan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk mengikuti kursus ternakan kelulut di Melaka dan mendapati usaha itu lebih mudah dan tidak memerlukan penjagaan rapi seperti haiwan ternakan lain serta boleh menghasilkan madu sepanjang tahun.

“Selepas itu, saya tidak menoleh lagi dan terus mendapatkan kelulut untuk ditempatkan di kebun getah seluas hampir dua hektar.

“Pada masa ini, saya mempunyai 80 koloni kelulut daripada tiga spesies iaitu Itama dan Thorasika yang membina sarang dari­pada propolis, manakala Bigami pula membuat sarang daripada damar,” katanya.

Arshad bersyukur kerana pe­laburan sebanyak RM40,000 untuk membeli koloni kelulut dua tahun lalu, berjaya membuahkan hasil pendapatan lumayan sehingga RM4,000 sebulan.

Namun, usahanya tidak terlepas daripada cabaran apabila 10 koloni kelulutnya dimusnahkan beruang yang mencari madu setahun lalu.

“Setiap koloni dibeli dengan harga RM500 dan boleh menghasilkan sehingga 1.5 hingga dua kilogram madu yang boleh dijual antara RM300 hingga RM400 bagi satu kilogram setiap bulan.

“Saya akan mengisi madu ke dalam botol bersaiz 250, 350 dan 500 gram yang dijual dengan harga RM50 hingga RM120 bagi memberi pilihan kepada pelangan kerana tidak semua pelanggan mahu membeli dalam jumlah yang banyak,” katanya.

Menurutnya, kelulut tidak perlu diberi makan seperti ternakan lain dan pengusaha hanya perlu memastikan ia tidak digang­gu oleh semut, anai-anai, cicak dan katak yang merupakan musuh utamanya.

Dia turut dibantu oleh isteri­nya, Noraishah Hashim, 42, untuk mengutip dan membotolkan madu sebelum dijual kepada pe­langgan yang terdiri daripada penduduk setempat dan rakan-rakan.

“Selain bercadang untuk menambah bilangan koloni kelulut pada masa terdekat, saya juga memasang impian untuk menjadi pembekal koloni dan sedang mendalami ilmu bagi menghasilkan ratu kelulut,” katanya sambil menyatakan kesediaan berkongsi ilmu terutamanya dengan golongam muda yang berminat meng­usahakan ternakan tersebut. - Utusan


Share:

Blogger news

Powered by Blogger.

Search This Blog

Blog Archive

Labels

Blogger templates

Labels

Recent Posts

Unordered List

Pages

Theme Support