LABIS 17 Mei - Kegagalan mengusaha penternakan lembu dan lebah sebelum ini tidak mematahkan semangat seorang lelaki di Kampung Tenang, dekat sini untuk bangkit menjadi penternak kelulut yang berjaya sejak dua tahun lalu.
Arshad Luman, 55, bekas pegawai di sebuah institusi kewangan tidak pernah menyesal mengambil keputusan berhenti kerja hampir 15 tahun lalu untuk menceburi bidang penternakan.
“Saya bermula dengan ternakan lembu dan ayam, namun mendapati membela lembu tidak semudah yang disangka kerana banyak masa diperlukan untuk haiwan berkenaan.
“Selepas menjual semua lembu dan ayam, saya beralih dengan menternak lebah pula. Tapi penghasilan lebah tidak sepanjang tahun dan bergantung dengan bunga di sekeliling kawasan yang bermusim membuatkan saya mencari satu usaha lain yang hasilnya tidak bermusim,” katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.
Secara kebetulan ketika itu pada awal tahun 2015, dia dan beberapa rakannya ditawarkan oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) untuk mengikuti kursus ternakan kelulut di Melaka dan mendapati usaha itu lebih mudah dan tidak memerlukan penjagaan rapi seperti haiwan ternakan lain serta boleh menghasilkan madu sepanjang tahun.
“Selepas itu, saya tidak menoleh lagi dan terus mendapatkan kelulut untuk ditempatkan di kebun getah seluas hampir dua hektar.
“Pada masa ini, saya mempunyai 80 koloni kelulut daripada tiga spesies iaitu Itama dan Thorasika yang membina sarang daripada propolis, manakala Bigami pula membuat sarang daripada damar,” katanya.
Arshad bersyukur kerana pelaburan sebanyak RM40,000 untuk membeli koloni kelulut dua tahun lalu, berjaya membuahkan hasil pendapatan lumayan sehingga RM4,000 sebulan.
Namun, usahanya tidak terlepas daripada cabaran apabila 10 koloni kelulutnya dimusnahkan beruang yang mencari madu setahun lalu.
“Setiap koloni dibeli dengan harga RM500 dan boleh menghasilkan sehingga 1.5 hingga dua kilogram madu yang boleh dijual antara RM300 hingga RM400 bagi satu kilogram setiap bulan.
“Saya akan mengisi madu ke dalam botol bersaiz 250, 350 dan 500 gram yang dijual dengan harga RM50 hingga RM120 bagi memberi pilihan kepada pelangan kerana tidak semua pelanggan mahu membeli dalam jumlah yang banyak,” katanya.
Menurutnya, kelulut tidak perlu diberi makan seperti ternakan lain dan pengusaha hanya perlu memastikan ia tidak diganggu oleh semut, anai-anai, cicak dan katak yang merupakan musuh utamanya.
Dia turut dibantu oleh isterinya, Noraishah Hashim, 42, untuk mengutip dan membotolkan madu sebelum dijual kepada pelanggan yang terdiri daripada penduduk setempat dan rakan-rakan.
“Selain bercadang untuk menambah bilangan koloni kelulut pada masa terdekat, saya juga memasang impian untuk menjadi pembekal koloni dan sedang mendalami ilmu bagi menghasilkan ratu kelulut,” katanya sambil menyatakan kesediaan berkongsi ilmu terutamanya dengan golongam muda yang berminat mengusahakan ternakan tersebut. - Utusan







0 comments:
Post a Comment